PENGGUNAAN TASBIH
Tasbih atau yang dikenali
dalam bahasa Arab sebagai ’subhah’ adalah butir-butiran yang dirangkai untuk
menghitung jumlah banyaknya zikir yang diucapkan oleh seseorang, dengan lidah
atau dengan hati.
Terdapat sebuah hadith yang
berasal dari Bisrah, seorang wanita kaum Muhajirin, yang mengatakan bahawa
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Hendaklah kalian
sentiasa berzikir, bertahlil dan bertaqdis (yakni berzikir dengan menyebut
keesaan dan kesucian Allah s.w.t). Janganlah kalian sampai lupa hingga kalian
akan melupakan tauhid. Hitunglah zikir kalian dengan jari, kerana jari-jari
kelak akan ditanya oleh Allah dan akan diminta berbicara.”
Akan tetapi perintah menghitung
zikir dengan jari tidak bererti melarang orang menghitung dengan cara lain.
Termidzi, al-Hakim dan Thabarani meriwayatkan sebuah hadith berasal dari
Shafiyah yang mengatakan, bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. datang ke
rumahnya. Beliau melihat empat ribu butir biji kurma yang biasa digunakan oleh
Shafiyah untuk menghitung zikir. Beliau s.a.w. bertanya: “Hai Binti Huyay,
apakah itu?” Shafiyah menjawab: “Itulah yang kupergunakan untuk
menghitung zikir.” Beliau berkata lagi: “Sesungguhnya engkau dapat berzikir
lebih banyak dari itu!” Shafiyah menyahut: “Ya Rasulullah, ajarlah aku.” Rasulullah
s.a.w. kemudian berkata: “Sebutlah, Maha Suci Allah sebanyak ciptaanNya.”
(Hadith sahih).
Abu Daud dan Termidzi
meriwayatkan sebuah hadith yang dinilai sebagai hadith hasan (baik) oleh
an-Nasa ‘i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim, iaitu sebuah hadith yang
berasal dari Sa ‘ad bin Abu Waqqash r.a. yang mengatakan, bahawa bahawasanya ia
bersama Rasulullah s.a.w. telah memasuki (rumah) seorang perempuan, sedangkan
di antara dua tangannya ada biji buah-buahan atau batu kecil yang ia gunakan
untuk bertasbih kepada Allah. Lalu beliau bersabda: “Aku beritahukan kepadamu
suatu lafaz yang lebih mudah dan lebih utama daripada itu. Kemudian beliau
bersabda: Subhanallaah ‘adada ma khalaqa fis samaa’ (Maha Suci Allah sebanyak bilangan
yang Ia ciptakan di langit), wa Subhanallaah ‘adada ma klaqa fil ardh (dan Maha
Suci Allah sebanyak bilangan yang Ia ciptakan di bumi), wa Subhanallaah ‘adada
ma khalaqa baina dzalik (dan Maha Suci Allah sebanyak bilangan yang Ia ciptakan
antara hal itu), wa Subhanallaah ‘adada ma Huwa khaliq (dan Maha Suci Allah
sebanyak ia ciptakan), Wallaah Akbar mitslu dzaalik (tidak ada Tuhan kecuali
Allah, juga seperti itu), wa laa haula wa laa quwwata illaa billaah mitslu
dzaalik (dan tiada daya upaya serta tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan
Allah, juga seperti itu).
Imam Ahmad bin Hanbal di
dalam ‘Musnad’nya meriwayatkan bahawa seorang sahabat Nabi yang bernama Abu
Shafiyah menghitung zikirnya dengan batu-batu kerikil. Riwayat tersebut
dikemukakan juga oleh al-Baghawi dalam Ma’jamus Sohabah, bahawa Abu Shafiyah, maula
Rasulullah s.a.w., menghamparkan selembar kulit kemudian mengambil sebuah
kantung berisi batu-batu kerikil, lalu duduk berzikir hingga tengahari. Setelah
itu ia menyingkirkannya. Selesai solat zohor ia mengambilnya lagi lalu berzikir
hingga petang hari.
Abu Daud meriwayatkan, bahawa
Abu Hurairah r.a. mempunyai sebuah kantung berisi batu kerikil. Ia duduk
bersimpuh di atas tempat tidurnya sambil ditunggu oleh seorang hamba sahaya
wanita berkulit hitam. Abu Hurairah berzikir dan menghitungnya dengan batu-batu
kerikil yang berada di dalam kantung. Bila batu-batu itu habis digunakan, hamba
sahayanya menyerahkan kembali kerikil-kerikil itu kepadanya. Abu Syaibah juga
mengutip Hadith Ikrimah yang mengatakan, bahawa Abu Hurairah mempunyai seutas
benang dengan bundelan seribu buah. Ia baru tidur setelah berzikir dua belas
ribu kali.
Imam Ahmad bin Hanbal
dalam Musnadnya Bab Zuhud mengemukakan, bahawa Abu Darda mempunyai sejumlah
biji kurma yang disimpan dalam kantung. Selesai solat subuh biji kurma itu
dikeluarkan satu persatu untuk menghitung zikir hingga habis. Abu Syaibah juga
mengatakan, bahawa Sa ‘ad bin Abu Waqqash r.a. menghitung zikirnya dengan batu
kerikil atau biji kurma. Demikian juga Abi Said al-Khudri. Dalam kitab al-Kamil, al-Mubarrad mengatakan bahawa
Ali bin Abdullah bin Abbas r.a. (wafat tahun 110H) mempunyai lima ratus butir
biji zaitun. Tiap hari ia menghitung rakaat-rakaat solat nawafilnya dengan biji
itu, sehingga banyak orang yang menyebut namanya dengan Dzu Nafatsat.
Ada seorang bertanya kepada
waliyullah al-Junaid: “Apakah orang semulia anda mahu
memegang tasbih?” al-Junaid menjawab: “Jalan yang mendekatkan diriku kepada
Allah s.w.t. tidak akan kutinggalkan.” (Rujuk ar-Risalah
al-Qusyairiyah). Abul Qasim at-Thabari dalam kitab Karamatul Auliya’mengatakan, banyak sekali
orang-orang keramat menggunkan tasbih untuk menghitung zikir, antara
lain Syeikh Abu Muslim al-Khaulani dan lain-lain.
Menurut Ibnu Umar r.a.,
menghitung zikir dengan jari lebih lebih afdhal. Akan tetapi ia juga mengatakan
jika orang yang berzikir tidak akan salah hitung dengan menggunakan jari,
itulah yang afdhal. Jika tidak demikian, maka
menggunakan tasbih lebih baik.
(Sila rujuk kitab “al-Bayan asy-Syafi Fi
Mafahimil Khilafiyah“/”Liku-liku Bid ‘ah Dan Masalah Khilafiyah” karangan al-Hamid
al-Husaini.)
Tambahan:
1. Dalam kitab “al-Futuhat
al-Rabbaniyyah” karya Imam Ibn ‘Allan al-Shiddiqi al-Syafi’i al-Asya’ari
al-Makki (w. 1057 H), setelah pengarangnya mengutip hadith riwayat Sa’ad bin
Abi Waqqash di atas, kemudian beliau mengungkapkan penjelasan ulama berkenaan
dengan hadith itu sebagai berikut:
“Dalam hadith Sa’ad
yang lalu, dan ini adalah dasar yang sahih dalam hal bolehnya menghitung zikir
dengan biji tasbih, dengan dasar adanya persetujuan Nabi s.a,w,, kerana biji
tasbih itu dalam pengertiannya (sama saja dengan biji buah-buahan atau batu
kecil), kerana tidak ada perbedaan antara benda yang telah tersusun dan yang
bercerai-berai untuk digunakan menghitung sesuatu. Dan tidak usah dihiraukan
orang yang mengatakannya bid’ah. Para Syeikh (guru besar) telah berkata bahawa
biji tasbih itu merupakan cambuk bagi syaitan…. Saya sendiri telah menyusun
kitab khusus berkenaan dengan masalah berzikir dengan menggunakan biji tasbih
yang saya beri nama, “Iqad al-Mashabih li Masyru’iyah Ittikhadz al-Masabih”
(Menyalakan pelita bagi disyari’atkannya berzikir dengan menggunakan
biji tasbih).”
2. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Bidayatul Hidayah” pada fasal ‘adab dukhul
al-masjid‘, menganjurkan kita agar menghitung atau
mengulang-ulang segala zikir, wirid dan tasbih kita dengan menggunakan subhah.
Dan subhah yang tidak lain melainkan alat tasbih yang kita gunakan
untuk berwirid dan berzikir. Guru kepada guru-guru kita, Sayyidul Ulama
al-Hijaz, Syaikh Nawawi Banten dalam syarahnya terhadap kitab Imam al-Ghazali
tersebut yang berjodol “Maraqil ‘Ubudiyyah” mukasurat 29 menjelaskan bahawa subhah adalah butiran atau bijian
berlubang yang disusun (kharazaatun mandhzumatun ) dan dinamakan juga sebagai
mudzakkirah iaitu persistasbih yang kita kenali dan guna. (Rujuk laman
Bahrus Shofa)